Danias Orkid kini diuruskan oleh Sakilla bersama ayahnya.
Apabila disebut tanaman orkid, ramai yang menganggap tumbuhan ini agak sukar untuk ditanam kerana ia memerlukan kemahiran dan penjagaan rapi bagi memastikannya hidup subur.

Selain itu, kos untuk membeli dan menanam orkid ini dikatakan agak tinggi hingga mampu mencecah ratusan ringgit bagi satu pasu.

Bagaimana pun, situasi ini tidak pernah menghalang anak kelahiran Klang, Sakilla Hanis Mohamed, 33, daripada berkecimpung dalam perusahaan tanaman orkid kerana beliau yakin bidang itu mempunyai potensi tinggi untuk menjana keuntungan.

Pengusaha Danias Orchid ini berkata, kos untuk membuka sebuah kawasan tanaman orkid memang agak besar dengan modal permulaan kira-kira RM100,000 bagi 0.40 hektar tanah.

Menurutnya, perbelanjaan tersebut meliputi beberapa aspek seperti pembelian benih orkid, baja, pembinaan rak pasu, pemasangan jaring dan lain-lain.

“Saya akui jumlah itu memang tinggi nilainya buat pengusaha kecil namun ia hanyalah pelaburan untuk satu kali sahaja kerana pokok ini mampu berbunga lebih daripada sekali,” katanya pada Info Agro.

Beliau berkata, orkid amat mudah untuk ditanam dan menguntungkan memandangkan ia boleh dituai berulang kali, tidak mudah dilanda penyakit dan mempunyai harga pasaran yang tinggi.

“Penanaman orkid tidak memerlukan individu mempunyai kemahiran atau pendidikan formal kerana apa yang penting adalah minat dan komitmen jitu dalam bidang ini.

“Ia tidak sesukar seperti mana digambarkan kebanyakan individu kerana jika individu faham keperluan jenis orkid maka ia akan menjadi perkara yang menarik untuk diusahakan,” katanya.

Ketika ini, Sakilla mengusahakan sebuah kawasan penanaman orkid seluas 0.20 hektar yang terletak di Jalan Sungai Bertih, Klang.


Dua kali perniagaan jatuh

Kawasan yang baru diusahakan dua bulan lalu ini menempatkan 20 spesies orkid seperti dendrobium, vanda, mokara, phalaenopsis dan oncidium.

“Sonia merupakan spesies orkid yang paling banyak ditanam kerana ia mendapat pasaran meluas bagi pasaran bunga keratan. Pelanggan pula terdiri daripada pemilik hotel dan penganjur majlis di sekitar Klang dan kawasan berhampiran,” katanya.

Sehingga kini, beliau mampu membekalkan kira-kira 4,000 orkid sonia  untuk jualan bunga keratan namun ia masih belum mencukupi untuk memenuhi permintaan di pasaran.

Syarikat milik Bumiputera ini menerokai dua pasaran iaitu pasaran runcit dan bunga hiasan (bunga keratan) dengan jualan mampu mencecah sehingga RM8,000 setiap bulan.

 Sakilla berkata, perusahaannya tidak sekadar memberi tumpuan kepada bunga orkid sahaja kerana ia turut mengusahakan tanaman sampingan lain seperti ros, kemboja, dan kekwa.

Selain itu, syarikat ini turut menawarkan jualan input pertanian orkid dan perkhidmatan berkaitan landskap bagi mempelbagaikan sumber perniagaan.

Pemenang projek orkid terbaik Selangor bagi Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) 2009 ini berkata, penglibatan awalnya dalam tanaman itu bermula pada 2005 apabila membuka perusahaan di tanah milik bekas ayah mertuanya seluas 0.40 hektar di Teluk Gadong Kecil, Klang.

“Pada ketika itu, saya memulakan penanaman orkid sebanyak 20,000 pokok di mana bapa saya sendiri bertindak sebagai pembimbing bagi memberi panduan dan tunjuk ajar dalam bidang ini,” katanya.

Bagaimana pun, beliau terpaksa melepaskan projek tanaman orkidnya pada penghujung 2010 selepas bercerai dengan bekas suaminya. Tambah malang, keseluruhan kawasan termasuk kelengkapan dan tanaman orkid dijual ekoran pertikaian antara kedua belah pihak.

 “Pada ketika itu, saya memang patah semangat untuk meneruskan usaha dalam bidang penanaman orkid ini namun bapa tidak putus-putus memberi semangat kepada saya,” katanya.


Tidak patah semangat

Pada 2011, beliau kembali dengan semangat baru apabila membuka sebuah kebun orkid berdekatan kawasan lama dengan tanah disewa daripada pemilik asal.

“Apakan daya, sekali lagi nasib masih tidak menyebelahi diri kerana kawasan tanaman itu agak tersorok dan saya sering mengalami kerugian akibat beberapa peralatan berkaitan tanaman seperti lori dan mesin dicuri,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman jatuh dalam perniagaan langsung tidak mematahkan diri semangatnya untuk terus terlibat dalam tanaman orkid sebaliknya menjadi pencetus semangat untuk terus berusaha mencapai kejayaan.

“Saya tanamkan dalam diri bahawa saya mesti meneruskan apa yang dihajati dan yakin ia pasti akan berjaya pada suatu hari nanti,” katanya.

Ketika ditanya perancangan akan datang, beliau berkata, beliau bercadang untuk meluaskan kawasan tanaman sedia ada di samping membuka ladang orkid pada masa akan datang.

“Selain itu, saya merancang untuk membuka sistem payung di mana ia akan membolehkan usahawan baru memulakan penanaman orkid dengan bimbingan daripada saya,” katanya.

Beliau berkata, penanaman orkid di Malaysia mempunyai masa depan cerah kerana pelbagai sumber pendapatan boleh dijana melalui tumbuhan berasal dari hutan ini.

Menurutnya, senario industri tanaman orkid negara masa kini menyaksikan kebanyakan pihak yang terlibat adalah terdiri daripada kaum bukan Melayu.

“Saya ingin memecahkan monopoli ini dan membuktikan bahawa golongan Bumiputera boleh berjaya sekiranya mempunyai minat dan semangat tinggi dalam bidang tanaman orkid.

“Anda tidak perlu risau untuk bergiat dalam bidang ini kerana pelbagai bantuan dan khidmat nasihat boleh dimohon melalui agensi kerajaan,” katanya.

Sakilla merupakan salah seorang pengusaha orkid Bumiputera yang aktif dalam penanaman orkid di kawasan Klang. Beliau juga adalah Tokoh Usahawan Negeri Selangor 2012 dan Usahawan Berjaya Selangor 2012 yang dianugerahkan oleh Pusat Pungutan Zakat Selangor berdasarkan kejayaannya dalam penanaman orkid.